Malay Language - The National Language of Malaysia - Featured on DewanBahasa Publications

Bahasa Kebangsaan
Bahasa Milik Bersama

Proses globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa Inggeris, menimbulkan keghairahan yang kadangkala berlebihan dalam kalangan masyarakat untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian terhadap penggunaan bahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu ialah bahasa Melayu- Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang digunakan di wilayah Malaysia, lndonesia dan persekitarannya sejak lebih seribu tahun lalu. Walaupun asal usul bahasa Melayu belum diketahui secara pasti, pertumbuhannya dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan, iaitu di sekitar Jambi dan Palembang.

Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan Malaysia, lndonesia dan Brunei Darussalam, serta salah satu bahasa rasmi di Singapura. Di lndonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa lndonesia, dan di Malaysia, bahasa Melayu dipanggil bahasa Malaysia. Selain empat negara tersebut, bahasa Melayu dituturkan oleh masyarakat Melayu di Thailand SeIatan, FiIipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.

Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta, iaitu bersamaan dengan penutur bahasa lndonesia. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa lnggeris dan bahasa Hindi. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70 ribu orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China terdapat radio yang menggunakan bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajarkan di universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman dan New Zealand.

Di Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali . Pada awal dekad 1970-an, bahasa Melayu dinamakan bahasa Malaysia atas sebab politik. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini nama “bahasa MeIayu” digunakan semula. Bermula pada tahun 2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada bahasa Malaysia sebagai simbol bahawa bahasa ini ialah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum. Di lndonesia, bahasa MeIayu juga dikenali sebagai bahasa lndonesia atas sebab persatuan dan kesatuan bangsa lndonesia, iaitu Sumpah Pemuda. Di Singapura dan Brunei Darussalam, bahasa Melayu tidak mengalami sebarang perubahan nama.

Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan dari segi sebutan dan kosa kata. Misalnya, bahasa Melayu Johor- Riau berbeza dialek daripada bahasa Melayu Palembang, Jambi dan Bengkulu. Bahasa Melayu Johor-Riau menggunakan dialek “ e” sedangkan bahasa Melayu Palembang, Jambi dan Bengkulu menggunakan dialek “o”. Selain itu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat peranakan atau Cina Selat, iaitu campuran pendatang Cina dengan penduduk asal merupakan campuran antara bahasa Melayu dengan dialek Hokkien. Bahasa ini dahulunya banyak digunakan di negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka. Walau bagaimanapun, kini kaum peranakan lebih gemar berbahasa Hokkien atau Inggeris. Bahasa MeIayu merupakan bahasa “aglutinatif”, yang bermaksud makna perkataan boleh diubah dengan menambah imbuhan tertentu. Umumnya, kata dasar atau kata akar terdiri daripada kata kerja.

Penggunaan bahasa Melayu daIam kalangan masyarakat di negara ini berbeza-beza bergantung pada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia sejak tahun 1968, tetapi bahasa Inggeris masih digunakan dengan meluas terutama dalam kalangan masyarakat Cina dan India. Keadaan yang sama berlaku juga di Brunei Darussalam.

Berbeza daripada lndonesia, bahasa lndonesia berjaya menjadi lingua franca bagi rakyatnya yang berbilang kaum. Hal ini dikatakan demikian kerana usaha gigih kerajaan lndonesia dalam menggaIakkan penggunaan bahasa lndonesia selain bahasa Belanda yang tidak lagi digunakan. Di Timor Leste, sekarang menjadi negara Timor Leste,  bahasa Indonesia diterima sebagai “bahasa bekerja”. Di Singapura pula, bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi, iaitu bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa India dan bahasa Melayu. Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh masyarakat daripada Kesultanan MeIayu Patani  walaupun tidak memperoleh sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.

Perlembagaan MaIaysia mengiktiraf kedudukan bahasa Melayu  sebagai  bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal. Islam juga dinobatkan sebagai  agama persekutuan. Perkara ini merupakan pengiktirafan dan penerimaan terhadap sejarah dan latar belakang negara dalam pembentukan identiti Malaysia. Dalam hubungan ini, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan khususnya, amat penting dari segi evolusi identiti nasional. Jika bahasa dapat memudahkan komunikasi antara kaum dan budaya yang berbeza-beza, maka bahasa itu akan membantu proses interaksi dan integrasi. Peranan inilah yang dimainkan oleh bahasa Melayu sepanjang sejarahnya sebagai lingua franca yang paling berkesan dalam mewujudkan identiti serantau Nusantara.

Dokumen PerIembagaan MaIaysia juga mengiktiraf kedudukan dan peranan bahasa lain. Pada masa yang sama, perlembagaan kita menegakkan hak penganut agama selain Islam untuk mengamalkan agama masing-masing.

Akomodasi bahasa bukan Melayu dan agama bukan Islam dalam perlembagaan merupakan pengakuan bahawa bahasa dan agama tersebut juga ialah sebahagian daripada identiti Malaysia.

Terdapat beberapa factor yang dikenal pasti menjadi sebab kurangnya penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat di negera kita. Antara faktornya termasuklah sikap tidak mahu mempraktikkan bahasa kebangsaan dalam kehidupan harian dan pengaruh penggunaan bahasa Inggeris. Keselesaan menggunakan bahasa ibunda masing-masing menyebabkan bahasa kebangsaan dirasakan tidak perlu. Misalnya, orang Cina lebih gemar menggunakan bahasa Cina apabila berkomunikasi dalam kalangan mereka. Hal yang sama turut berlaku pada kaum lain. Bahasa Melayu hanya digunakan apabila perlu berinteraksi dengan pegawai dari agensi kerajaan.

Kedudukan bahasa Inggeris dalam pelbagai sektor kini juga menjadi factor yang mengancam kedudukan bahasa Melayu. Misalnya, dalam sektor perindustrian, peluang pekerjaan lebih mengutamakan calon yang menguasai bahasa Inggeris berbading dengan calon yang hanya tahu berbahasa Melayu. Penekanan pembelajaran bahasa Inggeris dalam kehidupan juga menjadi factor berlakunya hal ini hinggakan nilai komersial pada bahasa kebangsaan semakin luntur.

Sikap negatif yang terpaku dalam minda sesetengah anggota masyarakat Malaysia turut menyumbang kepada keadaan tersebut. Mereka memberikan alasan seperti “I’m not use to speak in Malay” dan alasan bahawa bahasa Inggeris lebih penting. Alasan seperti ini hanya untuk menjaga imej mereka yang kebaratan. Malah, kadangkala menyebut perkataan Melayu pun berbunyi keinggerisan. Golongan inilah yang dinamakan sebagai “mat saleh celup”, yang hendak menunjukkan bahawa mereka lebih handal dan lebih “standard” dalam perbualan masing-masing.

Kadangkala bangsa Melayu sendiri menggunakan bahasa kebangsaan yang bercampur aduk dengan bahsa Inggeris. Sebagai contoh, seorang wartawan mewawancara seorang pemimpin dalam negara dengan mengemukakan pertanyaan, “Bagaimanakah perasaan tuan tentang kegiatan Bulan Bahasa?” Beliau menjawab, “I rasa proudlah dengan our Malay Society dan I akan support mereka.” Sekiranya seorang pemimpin tidak dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan sempurna, bagaimanakah kita mahu rakyat Malaysia fasih dalam bahasa kebangsaan?

Kempen yang dilaksanakan seperti “Cintailah Bahasa Kita” dan “Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita” tidak mendapat sumbutan yang menggalakkan dan kurang berkesan kerana sambutannya secara bermusim.

Meskipun kerajaan menyediakan pelantar, hal ini kurang mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, maka pelaksanaan program atau kempen tersebut tidak mencapai objektif.

Proses globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa Inggeris menimbulkan keghairahan dalam kalangan masyarakat yang kadangkala berlebihan untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian terhadap penggunaan bahasa kebangsaan. Budaya berbahasa kebangsaan dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa kebangsaan tidak berhubung kait dengan taraf social dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

Bagi memupuk penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan orang Cina, langkah pertama yang perlu diambil ialah “dorongan” kepada pelajar bagi membolehkan pembelajaran berlaku dengan berkesan. Melalui dorongan, akan timbul beberapa tujuan. Misalnya, ada orang belajar bahasa untuk melancong, ada pula untuk mendapatkan kerakyatan dan ada pula yang ingin melanjutkan pelajaran. Apakah tujuan murid mempelajari bahasa kebangsaan itu selain memenuhi keperluannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar di sekolah? Terdapat tiga aspek yang mendorong, iaitu untuk mendapatkan pekerjaan, untuk mendapat tempat di pusat pengajian tinggi dan status bahasa dalam masyarakat.

Bagi tujuan mendapatkan pekerjaan sememangnya wajar. Sejak syarat lulus bahasa kebangsaan dengan kepujian pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dijadikan syarat lulus peperiksaan dan syarat mendapatkan perkerjaan dalam perkhidmatan kerajaan, maka satu nilai tinggi telah ada pada bahasa kebangsaan. Bagi tujuan ini, orang akan berlumba-lumba untuk lulus peperiksaan bahasa kebangsaan. Walau bagaimanapun, syarat ini tidak dikehendaki di agensi swasta. Mereka yang tidak lulus bahasa Melayu juga boleh mendapatkan perkerjaan. Oleh itu, walaupun bahasa kebangsaan diberikan nilai tinggi kepada satu pihak, pencapaian tinggi masih tidak mencapai tujuan mutlak bagi semua orang disebabkan oleh masih wujud jalan alternatif bagi mereka yang tidak layak.

Semua institusi pengajian tinggi di Malaysia kini menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Oleh itu, bagi pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi yang berkaitan, mereka perlulah mempunyai kemahiran berbahasa kebangsaan. Dasar ini bukan sahaja menjamin pelajar mencapai kemahiran yang diperlukan di universiti, malah memberikan makna dan kepentingan kepada bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, lebih-lebih lagi apabila bersaing dengan bahasa Inggeris. Peraturan ini juga dapat menimbulkan dorongan yang kuat bagi pelajar mencapai kemahiran yang diperlukan.

Masyarakat sentiasa memberikan taraf tertentu kepada sesuatu bahasa. Kita telah mengasosiasikan diri dengan bahasa tersebut sekurang-kurangnya sebahagian daripada bahasa itu. Misalnya, seseorang yang baru pulang dari negara Barat atau Amerika bertutur bahasa Inggeris untuk menunjukkan asosiasinya dengan imej bahasa negara tersebut dan merasakan dia disamatarafkan dengan orang Inggeris atau Amerika. Begitu juga dengan bahasa Arab yang diberikan taraf oleh masyarakat Melayu. Contohnya, orang Melayu yang belajar di Mekah atau di Mesir akan mengasosiasikan dirinya dengan dunia dan bahasa Arab. Yang anehnya pula, kalau seseorang itu pulang setelah belajar di India selama beberapa tahun, mereka tidak pernah menunjukkan pelat India itu dalam bahasa Inggeris atau bahasa kebangsaan. Hal ini mungkin kerana India tidak diberikan taraf atau imej yang sama. Adakah bahasa kebangsaan dapat memberi mereka taraf sedemikian? Adakah mereka bermegah jika mereka dilihat menuturkan bahasa kebangsaan dengan fasih dan lancar? Dorongan seperti ini sudah ada, tetapi masih jatuh ke belakang berbanding dengan taraf bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat umum di Malaysia.

Pembudayaan bahasa kebangsaan bukan hanya bergantung sepenuhnya kepada sektor awam, tetapi sektor swasta turut memainkan peranan besar bagi memastikan kejayaannya.

Kerjasama dan pemantauan oleh badan bahasa sangat penting demi memastikan cita-cita ini menjadi kenyataan. Kempen demi kempen kebahasaan sering dilakukan, namun usaha untuk menaikkan imej bahasa kebangsaan menemui pelbagai cabaran. Jika bahasa itu dilaung-laungkan sebagai lambang jati diri bangsa, maka sudah sewajarnya usaha memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan diperhebat. Setiap orang harus berusaha mendaulatkan bahasa kebangsaan, supaya bahasa tersebut tidak dicemari oleh bahasa Inggeris dan harus mempunyai kesanggupan serta keyakinan untuk menggunakan bahasa kebangsaan. Masyarakat Melayu harus memberikan contoh yang baik kepada para pemimpin bukan Melayu supaya mereka sedar akan perlunya penguasaan bahasa Melayu di rantau ini.

Masyarakat Malaysia mempunyai peranan yang penting untuk memelihara kemurnian bahasa kebangsaan serta tidak mudah terpesong dan dipengaruhi budaya barat. Menjaga dan memartabatkan bahasa kebangsaan merupakan tanggungjawab bersama. Bahasa kebangsaan hendaklah dikekalkan bukan diabaikan kerana kita tidak mahu generasi akan datang digelar masyarakat tempang generasi pincang.

Masih banyak rakyat Malaysia yang beranggapan bahawa bertutur dalam bahasa kebangsaan akan mempamerkan diri yang bertaraf lebih rendah daripada meraka yang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris. Ada juga yang menganggap bahawa bahasa kebangsaan tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Seharusnya kita menanam sikap “bersama-sama menambah nilai ekonomi bahasa kebangsaan” dengan menuturkannya secara meluas, menggunakannya dalam urusan rasmi dan urusan perniagaan, di samping mempelbagaikan aktiviti yang boleh mendorong kecintaan terhadapnya.

Biarpun apa-apa pun keturunan kita, sebagai rakyat Malaysia, kitalah yang berperanan memberikan nilai tambah kepada bahasa kebangsaan kerana bahasa Melayu bukan milik satu bangsa sahaja, tetapi milik seluruh rakyat Malaysia. Masyarakat seharusnya menggunakan bahasa Melayu secara betul dengan tepat dan betul demi menghormati statusnya sebagai bahasa kebangsaan.

Malay Language – The National Language of Malaysia – Featured on DewanBahasa Offline and Online Publications on November 2012.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Open chat